Budimas Menyambut World Food Day : Menyajikan Harapan, Mengisi Hati

Budimas Menyambut World Food Day : Menyajikan Harapan, Mengisi Hati | Assalamualaikum semua.. Buat pembaca blog sis tahu tak korang bahawa 16 Oktober merupakan tarikh untuk apa? Sis pasti ada yang tahu dan ada tidak kannn.. Ya, tarikh 16 Oktober setiap tahun telah diangkat menjadi World Food Day untuk memperingati tarikh penubuhan United Nations Food and Agriculture Organization dalam tahun 1945. 


Justeru itu, baru-baru ini pihak Yayasan Kebajikan Budimas atau The Budimas Charitable Foundation juga turut meraikan World Food Day untuk memberi penekanan kepada kepentingan makanan di samping menyediakan sajian makan malam kepada lebih daripada 170 kanak-kanak kurang bernasib baik. Alhamdulillah, sis juga telah menerima undangan dan menjadi salah seorang tetamu untuk malam penuh bermakna ini. Terima kasih pihak Yayasan Kebajikan Budimas atas jemputan. 



Mengenai Yayasan Kebajikan Budimas


Untuk pengetahuan semua Yayasan Kebajikan Budimas ialah pertubuhan bukan kerajaan. Diperbadankan di bawah Akta Pemegang Amanah 1952, misi Yayasan Kebajikan Budimas adalah untuk menyediakan bimbingan dan pembiayaan dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.


Bergerak secara aktif untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik untuk memberi peluang kepada kanak-kanak menjalani yang normal. Yayasan Kebajikan Budimas telah menangani keperluan kanak-kanak kurang berkemampuan melalui pendekatan program kebajikan teras dengan pembentukan tiga program iaitu Budimas Home Charity Fund, Budimas Food Charity Fund dan Budimas Education Charity Fund yang memenuhi tiga keperluan asas kanak-kanak iaitu makanan, pendidikan dan rumah.


Sambutan World Food Day Oleh Budimas


Bertempat di SJKC Jinjang Tengah 1, Kuala Lumpur, acara sambutan World Food Day oleh Yayasan Kebajikan Budimas dihadiri tetamu kehormat Tunku Dato’ Yaacob Khyra selaku Pengerusi Yayasan Kebajikan Budimas, dan Anne Rajasaikaran, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Kebajikan Budimas. 


Turut hadir, badan korporat terkemuka seperti Alstom Transport dan Sunway Velocity bersama dengan tetamu jemputan dan kanak-kanak yang dikasihi dari Rumah Kanak-Kanak Triniti, Yayasan Hiichiikok, Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Rumah Bakti Dato’ Haron, The Budimas Orion Home, Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, dan Kampung Orang Asli Tanjung Sepat.


Acara tersebut bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Anne Rajasaikaran, menekankan kepentingan makanan dalam kelangsungan kehidupan kanak-kanak di Malaysia. Tunku Dato’ Yaacob Khyra, Pengerusi Yayasan Kebajikan Budimas, juga mengulangi sentimen ini dalam ucapan beliau, disamping memberi komitmen untuk terus memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia mempunyai akses kepada makanan berkhasiat setiap hari.

"Di Budimas, tekad kami adalah untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak. Ia adalah misi yang kukuh dalam apa yang dilakukan oleh Yayasan Kebajikan Budimas. Kami teguh dengan pendirian bahawa makanan bukanlah hak yang istimewa tetapi hak asasi bagi setiap kanak-kanak, tanpa mengira keadaan mereka," 
Tunku Dato’ Yaacob Khyra, Pengerusi Yayasan Kebajikan Budimas ~


Setelah selesai ucapan, tibalah ke acara yang ditunggu-tunggu iaitu makan malam. Apa yang membuatkan sis teruja adalah kesudian Tunku Dato’ Yaacob Khyra dan Puan Anne Rajasaikaran mencedokkan makanan buat anak-anak yang hadir. Terpancar wajah kegembiraan lebih 170 kanak-kanak kurang bernasib baik menikmati hidangan makanan yang enak. 



Sambil menjamu selera, ada satu acara kejutan buat anak-anak yang hadir di mana diadakan Budimas Blind Taste Challenge untuk memeriahkan majlis. Untuk acara ini, anak-anak yang diminta untuk meneka jenis makanan berkhasiat yang disuap dengan mata tertutup. Kagum betul sis bila anak-anak ni kebanyakannya dapat meneka jenis makanan yang disuap. Secara tak langsung acara ini menjadikan pendidikan pemakanan lebih menarik dan menyeronokkan.


Sebelum mengakhiri majlis, kanak-kanak yang hadir pada malam tersebut menerima pek makanan dan Pendidikan yang di sempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Kebajikan Budimas, Tunku Dato’ Yaacob Khyra. Malam yang penuh bermakna ini juga turut berseri dengan penyampaian token penghargaan kepada jemputan rumah-rumah kebajikan dan wakil Kampung-Kampung Orang Asli yang hadir pada malam tersebut. 



Alhamdulillah, secara keseluruhan majlis berlangsung dengan jayanya. Apa yang diberitahu kepada sis, Yayasan Kebajikan Budimas juga komited terhadap prinsip-prinsip yang disampaikan. Antaranya Program pemakanan mereka yang melibatkan penyediaan sarapan berkhasiat setiap hari kepada lebih daripada 5,000 kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh Malaysia. Ini menunjukkan komitmen Yayasan Kebajikan Budimas dalam membasmi kemiskinan makanan. 


Semoga usaha murni dari Yayasan Kebajikan Budimas secara langsung akan membuka jalan kepada masa depan yang lebih sihat untuk kanak-kanak di Malaysia. 





Post a Comment

0 Comments