Taman Mini Malaysia Tampil Dengan Nafas Baharu Sebagai Malaysia Heritage Studios (MHS) | Assalamualaikum semua.. Siapa sini pernah pergi ke Taman Mini Malaysia? Ha, tahu tak yang sekarang ni Taman Mini Malaysia ni dah bertukar wajah dan diberi nafas baru sebagai Malaysia Heritage Studios (MHS)? Ye, tahun lepas sis berkesempatan datang ke Melaka dan singgah ke sini. Masa tu masih dalam proses ubahsuai jadi ada banyak lagi la yang belum siap.
Mengenai Malaysia Heritage Studios
Untuk pengetahuan korang, Malaysia Heritage Studios merupakan taman tema magikal pertama di Malaysia yang mempamerkan 13 buah rumah negeri yang terdapat dalam negara. Sejumlah 13 tema telah dipilih untuk meraikan warna-warni warisan Malaysia yang mencakupi kesenian, alam semula jadi, budaya, sejarah dan kisah legenda yang tersembunyi dipaparkan dalam bentuk yang mempesonakan agar pengalaman imersif dapat diraih. MHS menempatkan pelbagai keunikan budaya dan tradisi, menonjolkan kekayaan dan nilai eksklusif yang Malaysia ada, termasuklah rumah negeri warna-warni, karakter legenda, hikayat dan sejarah dan pelbagai aktiviti lain yang boleh dinikmati para pengunjung untuk merasai pengalaman magikal.
Perasmian Pembukaan Malaysia Heritage Studios (MHS)
Dengan tema “Selamat Ha-Hari Raya di Kampung Kita”, Taman Mini Malaysia kini tampil dengan nafas baharu sebagai Malaysia Heritage Studios (MHS) yang dibangunkan semula secara menyeluruh sekali gus dinaiktaraf menjadi destinasi pelancongan utama di negeri Bandaraya Bersejarah ini. Perasmian pembukaan yang dilaksanakan besar-besaran hari ini juga adalah sejajar dengan kempen Tahun Melawat Melaka (TMM2024) yang dilihat bakal meningkatkan ekonomi pelancongan tempatan.
Terdahulu, Taman Mini Malaysia dibangunkan sebagai lokasi pelancongan konvensional yang hanya menampilkan rumah-rumah tradisional dari semua negeri di Malaysia. Namun, konsep lama itu telah diubahsuai sepenuhnya, menjadikan pengalaman pelancongan kali ini lebih imersif dan magikal bagi para pengunjung yang mengidamkan kepuasan maksimum.
“Pengalaman pelancongan merupakan asas yang akan menentukan hala tuju daya tarikan bagi
mana-mana produk pelancongan, terutamanya taman tema. Kali ini di MHS, semua rumah
tradisional dihidupkan semula dengan sentuhan pengalaman yang lebih imersif dan interaktif
menerusi penggunaan teknologi moden bagi melengkapi pengalaman ketika berada di sini.
Sebagai contoh, Rumah Perlis yang menampilkan pakaian tradisional bagi setiap kaum di
Malaysia. Untuk menghayati keanggunan pakaian itu sepenuhnya, pengunjung hendaklah
memutarkan butang bagi melihat pakaian diperagakan oleh patung tersebut, disertai dengan
muzik iringan,”
~ Datuk Yong Lam Woei, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Heritage Studios ~
Tarikan Baharu Malaysia Heritage Studios (MHS)
Keserian MHS turut dirancakkan lagi dengan tarikan baharu yang mempunyai elemen pendidikan iaitu Immortal Maze. Dibina dalam bentuk labirin, para pengunjung perlu menyelesaikan teka-teki untuk bertemu dengan hidupan legenda (mythical creatures) seperti Naga Seri Gumum, Jentayu dan Garuda, Kuda Semberani, Sang Kelembai, Gajah Mina, dan Mawas. Semua karakter ini tersembunyi dengan nilai-nilai teladan dan pengajaran yang tersemai menerusi penceritaan hikayatnya.
Uniknya, setiap hidupan legenda ini dipamerkan menerusi seni bina animatronik yang dilengkapi dengan penderia untuk mengaktifkan simulasi pergerakannya. Kombinasi teknologi dalam pembudayaan warisan ini dilihat sebagai penanda aras kemajuan bidang pendidikan yang kini lebih terkehadapan.
Bermulanya nafas baharu MHS hari ini, dianggarkan sejumlah lebih 300,000 pengunjung yang berbeza latar belakang termasuklah pengunjung antarabangsa bakal menikmati keunikan MHS tahun ini.
“Dengan sokongan padu daripada kerajaan negeri Melaka, saya percaya pengunjung yang hadir akan berasa kagum dengan warisan dan budaya negara kita yang kaya. Ia sekali gus menjadikan MHS sebagai destinasi pelancongan yang menitikberatkan elemen pendidikan terutamanya bagi para pelajar dan hero-hero kecil kita yang akan mengambil alih untuk memelihara nilai warisan ini pada masa hadapan. Saya boleh katakan dengan suntikan pelaburan sebesar RM20 juta terhadap pembangunan
MHS, hasil yang diperoleh adalah dari segi nilai warisannya yang kekal sepanjang zaman.
Dengan kemajuan arus perdana, kami sebagai syarikat turut bergerak seiring agar tidak
ketinggalan dalam industri, malah usaha kami akan sentiasa terkehadapan. Justeru, sebagai
pemain utama dalam industri pelancongan, sudah menjadi komitmen kami untuk membuat
pelaburan yang setanding dengan kehebatan teknologi,”
~ Datuk Yong Lam Woei ~
Definisi Pelancongan Baharu
Selaras dengan kempen TMM2024, fokus baharu MHS lebih tertumpu pada pelancongan yang berkonsepkan pendidikan ke arah membina komuniti yang celik budaya dan warisan negara. Sektor pelancongan secara dasarnya mempunyai fleksibilitinya tersendiri kerana ia sesuai digabungkan dengan industri lain. Sebagai destinasi pelancongan, MHS merupakan platform yang tepat untuk menyuntik elemen pendidikan bagi memperkayakan lagi pengalaman para pengunjung.
“Bangga saya sifatkan MHS sebagai destinasi ‘learning hub’ pelancongan yang mesra informasi kerana kepadatan maklumat berbentuk ilmiah dan sesuai dijadikan sebagai pusat pembelajaran luar bilik darjah. Tidak dinafikan pendidikan secara formal sememangnya penting, namun pembelajaran secara santai di luar kelas juga perlu dipupuk agar kita sentiasa dipenuhi dengan pengetahuan, lebih-lebih lagi mengenai warisan dan budaya yang kian ditelan zaman. Secara asasnya, kita boleh menggelarkan MHS sebagai pusat pembelajaran dan pembudayaan warisan.”
“Selain itu, komitmen kami terhadap MHS juga telah menganugerahkan kami The Excellence Award Winner 2023: Best New Attraction (Malaysia) oleh Tripzilla. Ini menunjukkan hasil titik peluh kami sebagai pemain industri tempatan yang bertungkus lumus meningkatkan kualiti destinasi pelancongan tempatan,”
~ Datuk Yong Lam Woei ~
Dalam usaha merancakkan lagi ekonomi pelancongan tempatan, MHS turut perhalusi keberdayaan syarikat dengan meningkatkan kemahiran semua tenaga kerja agar mereka lebih celik dan terlatih dalam pengetahuan budaya dan warisan negara.
“Salah satu tanggungjawab besar MHS adalah mendidik seluruh tenaga kerja MHS demi menghasilkan kualiti dan hasil produk pelancongan yang celik mengenai warisan dan budaya. Saya percaya untuk kekal relevan dalam sektor pelancongan yang melibatkan elemen pendidikan, ia mestilah bermula dari dalam. Harapan saya, kebolehpasaran tenaga kerja juga merupakan pelaburan terbesar dalam ekonomi pelancongan kerana ia secara tidak langsung akan membantu menaiktaraf ekosistem yang berdaya saing,”
Secara holistiknya, MHS bukan sekadar destinasi pelancongan malah ia menjanjikan keseluruhan pengalaman yang kaya dengan pengetahuan mengenai budaya dan warisan negara dan perlu diurustadbir dengan baik, sama ada menerusi inisiatif kerajaan ataupun pemain industri.
So guys, sempena Tahun Melawat Melaka (TMM2024) jom la datang ke Melaka dan singgah di Malaysia Heritage Studios (MHS). Boleh bawa keluarga dan anak-anak untuk jalan-jalan sambil mempelajari seni warisan dan budaya negara secara imersif dan magikal.
0 Comments