GSK Umum Kelulusan Vaksin Arexvy Untuk Melindungi Warga Emas Dari Penyakit Respiratory Syncytial Virus (RSV)

GSK Umum Kelulusan Vaksin Arexvy Untuk Melindungi Warga Emas Dari Penyakit Respiratory Syncytial Virus (RSV) | Assalamualaikum semua.. Zaman sekarang ni macam-macam penyakit ada dan salah satu yang perlu dipandang serius sekarang adalah penyakit Respiratory Syncytial Virus (RSV). Penyakit RSV ini boleh menyerang semua lapisan umur tetapi kesannya akan menjadi lebih teruk untuk golongan warga emas. Jadi adalah penting untuk kita mengambil perlindungan terutama untuk kedua ibu bapa kita.



Info Mengenai Jangkitan RSV Dalam Kalangan Dewasa Berisiko


Bagi sesiapa yang belum tahu mengenai penyakit Respiratory Syncytial Virus (RSV), ia adalah virus mudah berjangkit yang lazimnya menjejaskan paru-paru dan saluran pernafasan. Sehingga kini, RSV merupakan penyakit berjangkit yang membimbangkan. Orang dewasa yang lebih berusia berisiko tinggi mendapat penyakit yang parah kerana penurunan imuniti berkaitan usia dan keadaan kesihatan yang sedia ada. 


Walaupun RSV ialah penyakit yang menyerang semua peringkat usia, pada tahun 2019 kesan RSV pada orang dewasa berusia 60 tahun dan ke atas adalah ketara, mengakibatkan lebih 470,000 dimasukkan ke hospital dan 33,000 kematian di negara-negara berpendapatan tinggi. Orang dewasa dengan komorbiditi sedia ada, termasuk penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), asma, diabetes, dan kegagalan jantung kronik (chronic heart failure, CHF) berisiko tinggi untuk mengalami penyakit RSV yang parah. 


Sejak pandemik COVID-19, terdapat perubahan dalam corak jangkitan bermusim akibat langkah-langkah perlindungan COVID-19. Khususnya di Malaysia, jangkitan RSV berlaku sepanjang tahun, dengan kemuncak yang ketara lazimnya berlaku antara bulan Julai hingga Ogos, serta Oktober hingga Disember.

Simptom RSV 

✔ Demam
✔ Batuk
✔ Sakit Tekak
✔ Sesak Nafas
✔ Sakit Kepala
✔ Keletihan
✔ Hidung Berair
✔ Bersin
✔ Cepat/Sukar Bernafas
✔ Cyanosis



Vaksin Arexvy Perlindungan RSV


GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) hari ini mengumumkan bahawa Arexvy (MAL24086007ARZ) telah diluluskan di Malaysia untuk RSV, iaitu virus pernafasan yang lazim yang boleh membawa kesan klinikal yang serius, seperti penyakit saluran pernafasan bawah (LRTD) dan pneumonia. Ini merupakan vaksin RSV yang diluluskan untuk golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas di negara ini. Vaksin adjuvan ini berpotensi untuk mentransformasikan usaha dalam mengurangkan beban RSV kepada golongan warga emas, sistem penjagaan kesihatan, dan masyarakat.


Kelulusan ini berdasarkan data positif daripada percubaan fasa III yang menunjukkan keberkesanan vaksin keseluruhan sebanyak 82.6% terhadap LRTD. Keberkesanan sebanyak 94.6% diperhatikan terhadap RSV-LRTD dalam kalangan orang dewasa dengan komorbiditi. Dalam pelbagai kajian, vaksin ini secara amnya diterima baik dengan profil keselamatan yang mencukupi. Antara kesan buruk yang diperhatikan ialah kesakitan di tapak suntikan, keletihan, mialgia, dan sakit kepala. Kesan-kesan ini lazimnya adalah ringan hingga sederhana dan bertahan dalam masa beberapa hari selepas divaksinasi. 


Vaksin RSV warga emas GSK mengandungi antigen glikoprotein RSV F prafusi subunit rekombinan (RSVPreF3) yang digabungkan dengan adjuvan proprietari AS01E GSK. Dalam pelbagai ujian, calon vaksin ini umumnya diterima dengan baik dengan profil keselamatan yang mencukupi. Kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan ialah kesakitan di tapak suntikan, keletihan, mialgia, dan sakit kepala. Kesan-kesan ini lazimnya adalah ringan hingga sederhana dan bersifat sementara. 

"RSV boleh menyebabkan kesan yang parah, terutamanya dalam kalangan warga 
emas dengan komorbiditi seperti asma, COPD, dan kegagalan jantung kronik. 
Mereka juga berisiko tinggi untuk hospitalasasi selepas dijangkiti RSV. 
Oleh itu, adalah penting untuk kita melindungi pesakit berusia 60 tahun dan ke atas 
yang mempunyai komorbiditi. Di Malaysia, menurut Tinjauan Morbiditi 
Kesihatan Nasional 2023 (NHMS), lebih daripada setengah juta orang dewasa 
hidup dengan empat komorbiditi. Daripada jumlah ini, 15.6% daripada populasi dewasa
 mempunyai diabetes. Sudah tiba masanya kita melindungi warga emas dengan keadaan 
kesihatan yang mendasari daripada jangkitan RSV untuk membolehkan mereka 
menjalani kehidupan yang berkualiti terutamanya ketika usia emas mereka. Dengan 
mengutamakan kesejahteraan golongan warga emas, secara kolektif kita dapat 
memupuk masyarakat yang lebih sihat dan lebih cergas, dan meningkatkan kualiti 
hidup untuk semua generasi."
~ Profesor Dr. Ahmad Izuanuddin Ismail, Timbalan Pengarah & Perunding, Perubatan Pernafasan, Hospital Al Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (HASA UiTM) ~

"Pengumuman hari ini merupakan langkah besar ke hadapan dari perspektif kesihatan 
awam kerana ia membolehkan kami menyediakan vaksin bagi RSV di Malaysia 
bagi melindungi golongan warga emas. Kami berharap dapat bekerjasama dengan 
pelbagai pihak berkenanaan untuk memastikan mereka yang berisiko tinggi untuk 
mendapat jangkitan RSV yang parah ini dapat akses sewajarnya kepada vaksin ini."
~ Dr. Alap Gandhi, Pengarah Perubatan, GlaxoSmithKline Pharmaceutical 
Sdn Bhd (GSK) Malaysia dan Brunei berkata ~



Info Mengenai GSK


GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) ialah syarikat biopharma global dengan cita-cita dan tujuan untuk menyatukan sains, teknologi dan bakat untuk bekerjasama dalam usaha mengatasi penyakit. GSK menetapkan sasaran untuk memberikan impak yang positif kepada kesihatan 2.5 bilion penduduk dalam tempoh 10 tahun akan datang. Cita-cita GSK yang tinggi untuk pesakit dicerminkan dalam komitmen baharu terhadap pertumbuhan dan peningkatan yang ketara dalam prestasi. 


GSK telah beroperasi di Malaysia selama lebih 65 tahun, sejak memulakan operasi pertama pada bulan Oktober 1958. Dalam tempoh enam dekad yang lalu, GSK Malaysia telah berkembang dengan ketara baik dalam infrastruktur, operasi perniagaan mahupun asas bakat. Kini beroperasi dengan lebih 400 pekerja yang ditempatkan di dua entiti perniagaan iaitu Farmaseutikal & Vaksin dan Pusat Perkhidmatan Perniagaan. 



Post a Comment

0 Comments