Penyatuan Strategik Antara Public Bank Dan LPI Serta Kedudukan Ekuiti Keluarga Teh Dalam Public Bank Berhad | Assalamualaikum semua.. Hari ini iaitu tanggal 10 Oktober 2024 menjadi detik bermakna buat Public Bank Berhad di mana satu majlis 'Signing Ceremony' telah diadakan bagi Penyatuan Strategik Antara Public Bank Dan LPI Serta Kedudukan Ekuiti Keluarga Teh Dalam Public Bank Berhad. Berikut merupakan intipati majlis bagi makluman para pembaca sekalian.
Para tetamu yang hadir pada Majlis 'Signing Ceremony' ini menyaksikan bahawa Public Bank Berhad (“Public Bank”) telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat (“Perjanjian Jual Beli”) dengan Estet Mendiang Tan Sri Dato’ Sri Dr. Teh Hong Piow (“Estet”) dan Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd (“ConTeh”) untuk mengambil alih saham-saham biasa secara agregat sebanyak 175,896,000 dalam LPI Capital Bhd (“LPI”), yang mewakili kira-kira 44.15% kepentingan ekuiti dalam LPI, untuk jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM1.72 bilion (“Cadangan Pengambilalihan”).
Untuk pengetahuan semua, LPI merupakan sebuah syarikat yang disenaraikan pada Pasaran Utama Bursa Malaysia dan telah beroperasi selama lebih 60 tahun dan terlibat terutamanya dalam penajajaminan insurans am. LPI kini mempunyai 21 buah cawangan di serata Malaysia, sebuah cawangan di Singapura dan turut beroperasi di Kemboja melalui sebuah syarikat bersekutu.
“Cadangan Pengambilalihan ini merupakan peluang strategik untuk Public Bank mengembangkan lagi segmen insurans amnya dalam pasaran di Malaysia melalui LPI. Ini membolehkan Public Bank untuk turut segera berada dalam pasaran insurans dan memperkukuhkan segmen insurans am di Malaysia sebagai perkhidmatan sampingan yang komprehensif bagi perkhidmatan kewangan dan Takaful Keluarga.”
“Cadangan Pengambilalihan ini juga selari dengan rancangan Kumpulan untuk berkembang bukan hanya secara organik tetapi melalui pengambilalihan yang strategik untuk memperluaskan tawaran produk dan perkhidmatan kami seperti yang dibuat melalui pengambilalihan Public Bank Securities Vietnam Company Limited baru-baru ini, yang membolehkan Kumpulan mengembangkan tawaran perkhidmatan kewangannya di Vietnam menerusi perkhidmatan perdagangan sekuriti.”
“Pengambilalihan strategik Kumpulan LPI, sebuah syarikat insurans am terkemuka yang telah lama wujud di Malaysia, merupakan peluang jelas dan unik untuk kami memacu wawasan kami ke arah 'Model Perbankan Universal' yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan yang komprehensif serta produk dan perkhidmatan berkaitan yang lain di bawah kumpulan yang sama.”
“Dengan rangkaian sedia ada kami iaitu lebih daripada 260 buah cawangan yang ditempatkan di seluruh negara, Kumpulan LPI boleh memanfaat dan memperluaskan saluran pemasaran serta mengembangkan perniagaan insurans amnya di Malaysia. Selain itu, kami juga boleh memanfaatkan rangkaian jualan dan pemasaran LPI, selain memberi perkhidmatan kami kepada klien dan pelanggan LPI.”
“Selain menawarkan produk dan perkhidmatan masing-masing, Public Bank dan LPI juga boleh meneroka peluang untuk membangunkan produk dan perkhidmatan bersepadu baharu, khusus untuk memenuhi keperluan kewangan dan insurans pelanggan kami.”
~ Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tay Ah Lek, Pengarah Urusan dan
Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank ~
Memandangkan ini merupakan urus niaga pihak yang berkaitan, Cadangan Pengambilalihan ini tertakluk pada kelulusan para pemegang saham tidak berkepentingan Public Bank pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (“EGM”) yang akan diadakan kelak. Sekiranya Cadangan Pengambilalihan ini diluluskan di mesyuarat tersebut, Public Bank diwajibkan untuk memberi tawaran pengambilalihan mandatori (“MGO”) (“Cadangan Tawaran”) bagi kepentingan ekuiti selebihnya dalam LPI yang belum lagi dimiliki oleh Public Bank.
Public Bank telah menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia bagi Cadangan Pengambilalihan ini dan pelaksanaan korporat ini dijangka selesai pada suku pertama tahun 2025. Sekiranya tiada halangan, Cadangan Pengambilalihan ini dijangka akan menjadi nilai tambah dan akan menyumbang secara positif kepada perolehan Kumpulan Public Bank pada masa hadapan.
Pada sidang akhbar yang sama, Diona Teh Li Shian, anak perempuan bongsu mendiang Tan Sri Dato’ Sri Dr. Teh Hong Piow juga mengumumkan bahawa Estet and ConTeh berhasrat untuk membuat tawaran terhad bagi penjualan (“ROFS”) satu bahagian daripada Saham Public Bank, secara progresif dalam tempoh 5 tahun seiring dengan Akta Kewangan dan Perkhidmatan.
“Bapa saya sering memberitahu saya bahawa kejayaan Public Bank bukanlah kejayaan beliau secara individu – kejayaan itu dibina atas kepercayaan dan kesetiaan pemegang-pemegang saham serta komitmen berterusan kakitangannya, atau apa yang beliau panggil sebagai “keluarga korporat” beliau.”
“Sebagai menghormati legasi beliau dan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami yang tinggi, kami akan melaksanakan eksesais untuk mengagihkan sebahagian daripada saham Public Bank, pada harga diskaun, kepada semua kakitangan, pengarah dan pemegang saham Kumpulan Public Bank yang layak. Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan Public Bank kekal dalam genggaman mereka yang sentiasa memastikan pertumbuhan dan kejayaannya, sejak dahulu lagi, sehingga membolehkan kami untuk terus membina legasi kami bersama.”
“Walaupun kami akan memperkemaskan kepentingan kami, saya mengambil peluang ini untuk menegaskan sekali lagi komitmen kami yang teguh dan tidak berbelah bahagi untuk kekal sebagai pemegang saham utama Public Bank. Ini bukan hanya peranan atau hak milik kami – ia merupakan penghormatan dan tanggungjawab yang akan kami pupuk dengan penuh kasih sayang. Kami akan terus menumpukan untuk meneruskan legasi bapa saya dan akan terus menerajui institusi terhormat ini.”
“Kami amat berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan atas kepercayaan mereka terhadap kami melalui kelulusan yang diberi kepada kami untuk terus menerajui Public Bank. Dengan sokongan mereka, kami akan berusaha sedaya upaya untuk menerajui Public Bank dengan bersemangat, berintegriti dan berwawasan yang telah meletakkan Public Bank pada kedudukannya sejauh ini.”
~ Diona Teh Li Shian ~
Jadi, sebagai rumusan untuk majlis hari ini ada 2 iaitu :
- Public Bank Berhad bercadang untuk mengambil alih 44.15% daripada kepentingan ekuiti dalam LPI Capital Berhad
- Estet Mendiang Tan Sri Dato’ Sri Dr. Teh Hong Piow dan Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd akan memperkemaskan kedudukan ekuiti mereka dan kekal sebagai pemegang saham utama Public Bank
0 Comments